Jumat, 17 Desember 2010

Wanita - Sempurnanya Sebuah Kejadian Insan


        Empat belas kurun yang lalu, Islam telah meletakkan hukum yang jelas dan sahih. Wanita diletakkan sebagai
kaum yang mulia dan dihormati. Setinggi mana kemuliaan seorang lelaki, pasti ada secebis kemuliaan yang serupa
untuk kaum wanita. Wanita tidak diciptakan sebagai "alas kaki" kaum lelaki, malah wanita menduduki tangga teratas
sebagai individu yang paling dihormati dalam sebuah keluarga Islam.

         Wanita dicipta dari tulang rusuk yang pada hakikatnya merupakan perlambangan kepada sifat keras
hati yang dimiliki sebagai sifat semulajadi seorang wanita. Oleh kerana wanita dijadikan sebagai kaum yang
lemah dari aspek fizikal, mereka hanya mampu menggunakan kekuatan spiritual ini untuk mengimbangi kekuatan
lahiriah kaum hawa. Anugerah semula jadi ini melengkapi apa yang tidak mereka miliki. Tulang rusuk yang
semulajadinya bengkok merupakan gambaran sifat fizikal dan mental yang cukup istimewa meskipun pada dasarnya,
ia merupakan sifat semulajadi yang tidak seimbang. Meluruskannya berarti memikul tanggung jawab yang cukup
berat untuk kaum lelaki. Lantaran keupayaan kaum lelaki sebagai khalifah di bumi Allah, maka kaum lelaki juga
diberikan tanggungjawab sebagai pembimbing kepada kaum hawa ini.

          Istimewanya seorang wanita bermula dari alam kanak-kanaknya. Seawal kehidupan seorang wanita, dia
dilahirkan dan sewajarnya di asuh dengan segala aspek kelembutan - yang membezakannya dengan anak-anak lelaki.
Memasuki zaman gadis, seorang wanita mula dibekalkan dengan sifat semulajadi yang kian lengkap. Kaum hawa
pada peringkat ini mula mengalami perubahan sifat menjadi lebih sensitif, keras hati dan mungkin agak
pemalu. Sifat-sifat ini membentuk keperibadian yang tidak seimbang. Lantaran itulah kaum wanita dikatakan
sebagai lebih cepat matang berbanding kaum lelaki - akibat perubahan mental, fizikal dan spiritual yang
dialaminya. Namun kematangannya lebih dipengaruhi oleh pembentukan emosi yang senantiasa memerlukan bimbingan.

          Dunia wanita sebagai seorang isteri dari perspektif Islam pula meletakkannya sebagai individu di sebelah
suaminya. Sebagai isteri, wanita diletakkan pada kedudukan yang kedua tinggi selepas si suami, tetapi
tidak berarrti yang dia tidak perlu dihormati oleh suaminya. Kelangsungan dari itu, wanita sebagai seorang
ibu diangkat darajatnya lebih tinggi daripada seorang bapak. Seperti yang diriwayatkan di dalam hadis (riwayat
Bukhari), "syurga itu di bawah telapak kaki ibu". Derajat seorang ibu itu mengatasi segalanya selagi dia akur pada
Allah dan agamanya. Ini kerana peranan dan tanggungjawab seorang ibu untuk mendidik anak-anaknya itu jauh lebih
berat daripada tanggungjawab seorang suami mendidik isterinya. Ibu merupakan pencorak terbesar dalam
pembinaan maruah dan citra diri seorang anak. Dia yang bertanggungjawab mendidik dan membesarkan zuriatnya.
Meskipun ada bantuan dari pihak suami, tetapi peranan dan tanggungjawab suami sebagai pembina keluarga,
mencari nafkah dan sebagainya memberikan implikasi bahwa, sebahagian besar tanggungjawab pembentukan diri
anak-anak tergalas di bahu si ibu.

         Wanita sering dikaitkan dengan daya sensitiviti yang sering dikatakan sebagai sesuatu yang keterlaluan.
Namun, sama ada disadari atau tidak, sensitiviti milik kaum hawa inilah yang menyebabkan dia mampu melaksanakan
tugas dan peranannya sebagai seorang gadis, isteri dan ibu yang sempurna. Tanpa sensitiviti ini, mereka tidak
akan peka pada setiap kehendak dan keperluan dalam kehidupan. Dan sensitiviti ini merupakan satu
keistimewaan yang cukup berarti, karena dengannya, wanita mampu melahirkan cinta dan kasih sayang yang tidak
bersempadan sama ada sebagai anak, isteri, maupun seorang ibu kepada anak-anaknya.

       Wanita dari kaca mata Islam adalah sesempurna kejadian insan. Dia dicipta untuk melahirkan, menyabung nyawa
demi memanjangkan zuriat. Islam menobatkan kaum wanita pada kedudukan yang tinggi tanpa sebarang penghinaan,
meletakkannya sebagai bidadari syurga atas segala keistimewaan miliknya selagi terpelihara. Lantaran itu,
bagi kaum wanita, bersyukurlah karena anda dilahirkan sebagai kaum yang cukup istimewa. Mampu menghadapi
saratnya tanggungjawab meskipun dikategorikan sebagai kaum yang lemah. Anda memiliki "kekuatan" yang tak
tertanding oleh kaum lelaki yang seharusnya anda hormati. Namun kelebihan ini bukanlah lesen untuk
bermegah mendabik dada. Setinggi mana derajat kaum hawa diangkat, tetap memerlukan lelaki sebagai pelindungnya.
Dan Maha Besar, Maha Suci kuasa Allah yang menciptakan - lelaki dan wanita, kekuatan dan kelemahan - yang saling
memerlukan, saling melengkapkan kehidupan.


Kaum hawa dicipta dari rusuk Adam,
bukan dari kepalanya untuk dijadikan atasnya..
bukan dari kakinya untuk dijadikan alasnya..
melainkan dari sisinya,
untuk dijadikan teman hidupnya...
dekat pada lengannya untuk dilindungi
dan dekat pada hatinya untuk dicintai...

(Hadis Rasulullah s.a.w)

oleh : Semut merah

Tidak ada komentar:

Posting Komentar